Monday, February 1, 2010

Sarawak kuasa sukan negara 2020

KUCHING 1 Feb. - Sarawak berhasrat untuk menjadi kuasa sukan negara menjelang 2020, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi negeri, Datuk Seri William Mawan Ikom.

Beliau berkata, rancangan 10 tahun itu akan dicapai menerusi pelaksanaan Kajian Pelan Induk Pembangunan Sukan Sarawak 2020 yang dimulakan pada Januari lalu.

Menurutnya, ketika ini, kajian pelan induk itu dilaksanakan oleh Australian Business Centre (ABC) yang terkenal dalam kajian pembangunan sukan di peringkat antarabangsa.

"Secara keseluruhan, kajian itu akan merumuskan satu pelan pembangunan sukan bagi jangka panjang yang komprehensif dan strategik untuk Sarawak.

"Dan tempoh kajian pelan itu akan memakan masa selama lapan bulan sebelum laporan tersebut dihantar kepada kementerian untuk diteliti," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Kajian Pelan Induk Pembangunan Sukan Sarawak 2020 di sini.

Turut hadir, Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Perancangan Ekonomi) Larry Sng Wei Shien.

Pada masa yang sama, Mawan memberitahu, Sarawak akan melihat kemungkinan bagi mewujudkan sekolah sukan di negeri ini sebagaimana Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Bandar Penawar di Johor.

Ujarnya, kejayaan kedua sekolah berkenaan membuktikan sekolah sukan mampu melahirkan atlet-atlet sukan yang berwibawa.

"Dan berdasarkan kepada komitmen yang kita ada ketika ini kita akan melihat kepada kemungkinan mewujudkan sekolah berkenaan," jelas beliau.

Sementara itu, Mawan berkata, persiapan Sarawak untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) XIII di Melaka dari 10 hingga 19 Jun ini merupakan landasan terbaik mencungkil bakat-bakat baru.

Tambahnya, masih terlalu awal untuk meramalkan jumlah sasaran pingat namun beberapa sukan seperti akuatik dan olahraga berpotensi untuk menyumbang emas.
 

No comments:

Post a Comment