Saturday, January 9, 2010

Sarawak diperkuat enam muka baru berpengalaman

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN
zaid.adnan@utusan.com.my


KUCHING - Enam pemain baru Sarawak yang menggalas cabaran pasukan baru mereka, berikrar akan menunjukkan kemampuan sebenar masing-masing pada saingan Liga Malaysia 2010, Isnin ini.

Selepas mengikat kontrak secara rasmi bulan lalu, mereka bersama lima lagi pemain Piala Presiden sudah menunjukkan keserasian untuk bersama 13 lagi pemain lama bagi mengibarkan cabaran skuad 'ngap sayot' untuk kembali ke saingan Liga Super pada musim 2011.

Ternyata, kehadiran enam pemain baru itu bukan sahaja memperkuatkan setiap posisi pasukan Sarawak, yang sebelum ini mungkin dianggap masih muda, malah pengalaman mereka dalam mengharungi saingan liga sebelum ini nyata memberi manfaat kepada pemain sedia ada.

Enam pemain baru Sarawak ialah pemain penyerang, Efendi Abd Malek (Negeri Sembilan) dan Azralan Azmi; pemain pertahanan, Wong Sai Kong (Sabah) dan Abdul Aziz Ismail (ATM); pemain tengah, Rafiz Abu Bakar (Kedah) dan penjaga gol, Mohd. Suffian Ab. Rahman (KM Naza).

Pemain yang ditemui nyata bersemangat untuk mengembalikan era kegemilangan pasukan 'bujang senang'.
Bagi Effendi Abd. Malek, 31, dia berharap kehadirannya dalam pasukan Sarawak akan memantapkan lagi jentera serangan pasukan dan persembahan pasukan.

Katanya, dia sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalamannya serta memberi motivasi kepada pemain lain demi mengembalikan cabaran Sarawak yang telah lama ketandusan kejuaraan.

''Apa yang penting, dengan pasukan baru ini, saya harap dapat bersama-sama mereka mengembalikan era kegemilangannya,i," katanya di sini, semalam.

Mereka ditemui selepas majlis penyerahan tajaan jersi pasukan bola sepak Sarawak bagi Liga Malaysia 2010 dari Lea Sport Centre kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak Football Management Group (FAS FMG) Sdn Bhd.

Bagi pemain pertahanan, Wong Sai Kong, 31, dia berharap dapat menyumbangkan pengalamannya kepada barisan pemain Sarawak yang kebanyakannya masih muda.

Dia yang akan berganding dengan Fazly Kassim, berkata, gandingan pemain lama dan baru akan pasukan ini semakin kuat.

''Namun, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan potensi pasukan ini dan kehadiran jurulatih pasti akan mengatasi masalah itu," kata bekas pemain Sabah itu.

Sementara itu, penjaga gol baru pasukan, Mohd. Suffian Ab. Rahman, berkata, dia bersemangat untuk mengembalikan era kegemilangan 'ngap sayot' untuk kembali bersaing pada Liga Super 2011.

Tambahnya, apa yang penting ialah pemain dapat bermain secara berpasukan dan membantu antara satu sama lain.
 

No comments:

Post a Comment