Sunday, October 3, 2010

Jahar: Sarawak suntuk penjaga gol berwibawa

by Wan Ali Amit.
Posted on August 3, 2010, Tuesday

KUCHING: Dalam sejarah bola sepak Sarawak, tiada seorang pun penjaga gol yang menyarung pasukan negeri benar-benar dianggap berwibawa justeru mampu memantapkan benteng terakhir pasukan.

Program pembangunan bola sepak perlu ambil kira keperluan ini


Sarawak meniti era gemilang (1980-an) dalam dunia bola sepak tatkala pasukan Ngap Sayot di bawah bimbingan jurulatih tempatan, Awang Mahyan Awang Mohamad mampu meletakkan pasukan kita sebaris dengan pasukan terbaik di persada bola sepak tanahair.

Kejayaan Ngap Sayot beraksi dalam Piala Malaysia merupakan satu pencapaian cemerlang buat pasukan negeri yang ketika itu dibintangi ramai pemain berkaliber termasuk penjaga gol, Affendi Jol.

Sebelum kejayaan Ngap Sayot, pasukan Sarawak pernah digeruni dan dihormati lawan dengan penampilan pemain-pemain berwibawa termasuk penjaga gol tinggi lampai, Jahar Nor.

“Kita akui pada masa sekarang Sarawak begitu memerlukan penjaga gol berwibawa untuk menyarung jersi nombor satu pasukan negeri,” kata Jahar ditemui baru-baru ini.

Jahar kini bertindak sebagai jurulatih penjaga gol bagi pasukan junior iaitu skuad Piala Presiden dan Sukma (Sukan Malaysia).

Menurut Jahar, selepas ‘persaraan’ Affendi (Jol) pasukan Sarawak sememangnya tidak memiliki penjaga gol berwibawa yang mampu membantu pasukan negeri mencapai kegemilangan.

“Kejayaan pasukan Sarawak di bawah bimbingan jurulatih import, Alan Vest sekitar 1990-an ternyata banyak bergantung kepada sumbangan besar penjaga gol ‘import’, Mazlan Wahid (Melaka).

“Malah, pasukan kita memiliki seorang penjaga gol yang mampu bertindak cemerlang pada suatu ketika iaitu Mohd Firdaus Ishak dan Stanley Fraizer (Mohd Azley Abdullah),” katanya.

Namun, kedua-dua penjaga gol berpotensi itu gagal membuktikan keterserlahan mereka sekali gus tidak mampu membantu pasukan negeri menggapai kecemerlangan.

Jahar berkata bahawa Sarawak perlu mengadakan program pembangunan bola sepak yang turut melibatkan penjaga gol.

“Dengan pengalaman yang saya perolehi sedikit masa lalu dan sijil kejurulatihan yang ada, saya sanggup membimbing dan berkongsi pengalaman dengan penjaga gol muda kita.

“Saya percaya dengan program pembangunan yang kita lakukan dan juga program jelajah negeri bagi mencungkil bakat-bakat baru oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), kita berupaya melahirkan penjaga gol berwibawa pada satu masa kelak,” katanya.

Buat masa ini, Sarawak mempunyai beberapa penjaga gol muda yang mampu diasah bakat mereka seperti Abdul Ghani Anuar, Aidil Mohamad, Zul Mohi, Habib Mohd Arshad, Baharuddin Abdul Samad, Sharon Azuan, Antonia Beckness dan Tuah Sunggut.

“Saya amat yakin jika penjaga gol muda yang pernah menyarung jersi pasukan negeri itu diberi bimbingan dan latihan yang baik sudah pasti mereka mampu menjadi penjaga gol berwibawa nanti,” katanya.

1 comment:

  1. keeper tok nang utk urg special, sik semua urg boleh jadi keeper, mun ada sikda blogeer diluar nun sik setuju padah jak,.

    ReplyDelete