KOTA SAMARAHAN: Bahagian Samarahan memiliki potensi besar untuk menjadi kuasa sukan di negeri ini pada masa akan datang, jika para penduduknya memberi tumpuan khusus dalam pembangunan sukan-sukan terbabit, kata Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, memang diakui Samarahan kini mempunyai banyak kemudahan sukan serta ramai atlet yang berbakat dalam sukan-sukan tertentu dan boleh diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi.
“Kita akui Samarahan memiliki ramai atlet sukan yang berwibawa, malah kita di sini juga mempunyai suasana iklim persekitaran yang menarik untuk menganjurkan pelbagai aktiviti sukan kepada golongan generasi muda,” katanya berucap merasmikan penutupan kejohanan Liga Samarahan 2010 di Stadium Mini Kota Samarahan, di sini lewat petang kelmarin.