Monday, September 13, 2010

FAS, Sarfa sedia bekerjasama demi martabatkan mutu pengadilan

September 13, 2010, Monday

KUCHING: Kira-kira 1,400 pengadil bola sepak Sarawak bakal mendapat manfaat daripada kerjasama yang cuba disemai di antara jawatankuasa pengadil Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Persatuan Pengadil Sarawak (Sarfa).

Pertemuan dua tokoh bola sepak tempatan baru-baru ini menjanjikan satu era baru buat para pengadil tempatan dalam meningkatkan mutu pengadilan mereka dalam sukan bola sepak.

Presiden jawatankuasa pengadil FAS, Haidel Heli berkata pertemuan beliau dengan Presiden Sarfa, Awang Mahyan Awang Mohamad tempoh hari telah membuahkan hasil apabila isu pengadil yang sekian lama menjadi persoalan akhirnya dapat diselesaikan.

“Kami berterima kasih kerana Sarfa ingin bekerjasama dalam mengendalikan bersama perlawanan yang dianjurkan oleh FAS dan dalam jawatankuasa kali ini, sudah pasti Sarfa akan menjadi sebahagian daripada kami,” ujar Haidel (gambar kanan) ketika ditemui pada rumah terbuka beliau di Taman Barjah Petra Jaya, pada hari kedua Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata setiap pengadil perlu mendaftar diri dengan persatuan (Sarfa) sebelum mengendalikan mana-mana perlawanan di bawah FAS.

Sebelum ini beliau berkata sesetangah pihak pengadil membuat keputusan secara sendiri tanpa berunding dengan pihak Sarfa terlebih dahulu dan ini secara tidak langsung mengendahkan kewujudan persatuan itu.

“Kali ini saya akan memastikan ini tidak berlaku lagi dan akan bekerjasama terus dengan pihak Sarfa,”

“Ini kerana dalam apa jua perlawanan, mutu amat dititikberatkan. Justeru itu, kita perlu ada sebuah badan atau persatuan yang dikenalpasti untuk menyumbang kepakaran mereka,” ujar beliau sambil menekankan bahawa Sarfa bukan pecahan FAS tetapi memegang satu aset yang penting dari sudut pengadilan bola sepak.

Haidel juga berkata untuk mengukuhkan lagi kedudukan dan keberkesanan sistem jawatankuasa pengadilan, ahli-ahli Sarfa akan dijadikan sebagai ahli dalam jawatankuasa berkenaan.

“Tanpa pengadil yang berkelayakan dan berkualiti, sudah pasti perlawanan kita akan terjejas dan untuk menyambut era baru FAS, semua ini haruslah diambil perhatian,” katanya sambil memberitahu sistem ini akan bermula tahun depan.

Menurut Awang Mahyan pula, beliau berterima kasih dengan jawatankuasa (pengadil) baru FAS kerana melihat kewujudan Sarfa sebagai satu entiti dalam sukan ini.

“Kami bersedia membantu untuk perkembangan bola sepak dan akan memberi khidmat kami sebaik mungkin,” ujar beliau ketika dihubungi.

Awang Mahyan dan Haidel merupakan dua tokoh bola sepak yang amat dihormati dan disegani di negeri ini.

Haidel ialah naib presiden FAS dan juga merupakan presiden Persatuan Bola Sepak Samarahan sementara Awang Mahyan pula merupakan bekas jurulatih negeri dan kini menyandang sebagai presiden Sarfa dan juga presiden Persatuan Bekas Jurulatih dan Pemain Bola Sepak Sarawak (Socfa).

No comments:

Post a Comment