Monday, September 20, 2010

Pusingan kedua Piala Perpaduan bermula hari ini

September 18, 2010, Saturday

KUCHING: Sebanyak 32 pasukan sudah membuktikan kehebatan masing-masing apabila berjaya melepasi halangan pusingan pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan 2010 di Kampung Sambir, Asajaya semalam.

Kesemua pasukan terbabit bakal berentap dalam pusingan kedua bermula hari ini (Sabtu) bagi memburu tempat ke peringkat seterusnya.

Sebanyak 64 pasukan dari sekitar daerah Asajaya termasuk Bahagian Samarahan dan Kuching menyertai kejohanan bola sepak kalah mati itu.
Kejohanan anjuran Kelab Sukan Komuniti dan Rekreasi Kampung Sambir itu bermula pada Isnin lalu dan dijangka berakhir pada Ahad depan.

Saingan itu adalah bagi merebut Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Abdul Karim Rahman Hamzah.

Perasmian kejohanan itu dilakukan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Samarahan (PBBS) yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Haidel Heli. Hadir sama Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi.

Setiausaha penganjur, Hamzah Ameran berkata kesemua pasukan yang layak ke pusingan kedua merupakan pasukan-pasukan handalan dan mereka pasti akan menayangkan aksi lebih hebat.

Menurut Hamzah, antara pasukan yang telah berjaya menempah tiket ke pusingan kedua ialah Junior Tabuan, Remaja Tambirat, Batu Belat, Wafa FC, Kampung Mang, Semerah Padi dan bekas juara, Sri Muara (Muara Tebas).

“Kami menjangkakan saingan pusingan kedua lebih hebat dengan kejayaan pasukan-pasukan pilihan melepasi halangan pusingan pertama,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Hamzah memberitahu saingan pusingan kedua yang bermula hari ini menyaksikan pertemuan pasukan-pasukan yang telah memenangi perlawanan pusingan pertama.

Katanya, setiap pasukan yang berjaya melangkah ke pusingan kedua sudah tentunya akan beraksi dengan bersungguh-sungguh untuk memburu tempat ke peringkat lebih tinggi.

“Kita mengharapkan kejohanan kali ini tampak lebih rancak dan meriah dengan penyertaan pasukan-pasukan yang pernah menghiasi Liga Samarahan dan Liga Kuching,” katanya.

2 comments: